ADTEC Kemaman telah menyerahkan sebanyak 500 unit ‘face shield’ dan 6 unit ‘intubation box’ kepada Hospital Kemaman bagi digunakan oleh ‘frontliner’ yang bertugas dalam menangani wabak Covid 19. Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad bin A. Rahman merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Kemaman bersama Pengarah ADTEC Kemaman, Tuan Haji Abdul Halim bin Abd. Rahman telah meyempurnakan sesi penyerahan ini kepada Ketua Penyelia Hospital Kemaman, Encik Mohd Zulkifli bin Alias di ADTEC Kemaman. Sebelum itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Covid 19 di Bilik Mesyuarat Utama ADTEC Kemaman bersama-sama dengan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDRM.

Pengetahuan dan kemahiran TVET yang terdapat di kalangan pensyarah serta pelajar ADTEC Kemaman dengan bantuan mesin dan peralatan yang bersesuaian daripada ADTEC Jerantut diaplikasikan sepenuhnya di mana ‘face shield’ telah dihasilkan dengan menggunakan teknologi ‘3D Printing’ dan juga ‘Injection Moulding’ manakala ‘intubation box’ pula dihasilkan dengan menggunakan teknologi ‘Laser Cutting’. Usaha ADTEC Kemaman ini merupakan satu sumbangan kecil kepada negara bagi menunjukkan institusi TVET terutamanya Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia juga mampu berganding bahu dan menyumbangkan sesuatu di saat negara dilanda bencana.