Seramai 30 orang pelajar semester akhir kursus Diploma Teknologi Binaan (Sivil & Struktur) termasuk 4 orang pengajar telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Loji Rawatan Air Bukit Sah, Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu. Lawatan ini bermula dengan sesi penerangan tentang operasi loji dan proses rawatan air yang terlibat. Selepas itu, pelajar telah didedahkan dengan proses sebenar rawatan air yang berlaku di loji rawatan. Ianya bermula dengan pengumpulan air mentah yang diambil dari Sungai Pinang dan dirawat sehingga menjadi air bersih dan sedia untuk diagihkan kepada pengguna. Loji rawatan air ini adalah loji rawatan yang terbesar di Terengganu dengan kapasiti pengeluaran air sebanyak 200mil liter sehari. Seterusnya sesi lawatan diteruskan lagi ke tapak pembinaan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Air Putih. Projek ini bernilai RM20j dan merangkumi pembinaan 200 unit rumah teres setingkat yang mana ianya menggunakan teknologi IBS dalam pembuatan dinding. Ianya di bawah pemilik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Kontraktor utama adalah Ponterosso Technic Sdn Bhd. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tersebut tentang alam pekerjaan di tapak bina. Semoga ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan dimasa akan datang.