ADTEC Kemaman telah terpilih sebagai salah satu daripada 15 institusi awam untuk penilaian kajian analisis jurang (Gap Analysis) bagi OPITO Desktop Audit & Ongoing Approval oleh Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (MEA). Lawatan penilaian bagi kajian ini dijalankan oleh Offshore Petroleum Industry Training Organization (OPITO), United Kingdom (UK) dan telah diadakan pada 10 – 11 Februari 2020 di ADTEC Kemaman yang diwakili oleh panel penilai OPITO, Mr Steven Prior dan wakil JPDC oleh En Hilmy Hussain dan Cik Rashida Taha. Skop penilaian kajian bagi ADTEC Kemaman melibatkan Training Certification Level 2 Maintenance Practices bagi 3 program iaitu Mechanical, Instrument & Control dan Electrical merangkumi skop-skop utama iaitu sistem pengurusan, kemudahan peralatan latihan, silibus latihan dan kakitangan akademik serta sokongan.
Sesi lawatan penilaian dimulakan dengan taklimat oleh JPDC dan pembentangan mengenai pengenalan serta taklimat ringkas operasi ADTEC Kemaman. Penilaian diteruskan dengan sesi lawatan ke bengkel-bengkel dan fasiliti yang tersedia di ADTEC Kemaman. Penilaian secara terperinci terhadap dokumen-dokumen yang berkaitan seperti sistem pengurusan kualiti, prosedur dan manual Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, silibus, kertas-kertas penilaian, portfolio pelajar dan juga peralatan-peralatan latihan di bengkel-bengkel termasuk sesi temubual dengan pihak pengurusan, Ketua Bahagian dan pensyarah. Lawatan penilaian diakhiri dengan mesyuarat penutupan bagi laporan penemuan audit, syor dan cadangan penambahbaikan. Dengan komitmen daripada semua pihak terutamanya pengurusan, kakitangan dan pelajar, diharapkan semua program yang terlibat dengan penilaian OPITO ini akan memperolehi keputusan analisis jurang yang setara dengan Training Certificate Level 2 OPITO.