ADTEC Kemaman baru-baru ini menerima lawatan dari pegawai-pegawai dari ibu pejabat dan cawangan pantai timur Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bagi tujuan perlaksanaan latihan Radiografi Industri Tahap 1&2. Lawatan adalah bertujuan untuk mengenalpasti peralatan dan fasiliti bilik dedahan dan tapak amali bagi sinar gamma di ADTEC Kemaman adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh akta. Pegawai-pegawai yang hadir adalah En Zulkefle, En Senin, En Harry, Puan Sofia Aida dan Puan Wan Madihah. Hasil lawatan ini mendapat maklumbalas positif dari pihak AELB dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan sebelum pengiktirafan perlesenan boleh diperolehi.
ADTEC Kemaman dengan kerjasama RSA Academy Sdn Bhd telah merancang untuk melaksanakan kursus Radiografi Industri di ADTEC Kemaman sejak tahun 2016. Pelbagai usaha dilakukan oleh kedua belah pihak berdasarkan maklumbalas yang diterima dari pihak berkuasa dan sedaya upaya memenuhi kehendak dan syarat yang telah termaktub. Tahun 2020 merupakan tahun keramat di mana kursus ini akhirnya berada di fasa terakhir sebelum boleh dilaksanakan dengan jayanya. Jika tiada aral melintang, ADTEC Kemaman akan menjadi insitut latihan kemahiran awam (ILKA) pertama di negara ini yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia Radiografi Industri (RT) kepada pelajar dan orang awam khususnya di bahagian pantai timur.
Tahniah kepada tim ADTEC Kemaman khususnya En Mohd Hazwan Mansor selaku RPO Jabatan Tenaga Manusia yang bertindak sebagai “keyplayer” dalam memastikan semua prosedur mengikut syarat yang ditetapkan, En Wan Shaiful Hasrizam Wan Muda selaku tenaga pakar dan “spokeperson” ADTEC Kemaman dalam memudahcara dan merencanakan proses perlaksanaan dengan kerjasama RSA Academy, En Zahari Abd Ghani selaku Ketua Bahagian Teknologi Kimpalan yang bertanggungjawab terhadap peralatan dan fasiliti berkaitan dan tidak dapat dinafikan sumbangan pengarah ADTEC Kemaman sendiri,Tuan Hj Abdul Halim Abd Rahman yang merupakan pencetus idea perlaksanaan kursus radiografi di ADTEC Kemaman dan tulang belakang yang sentiasa menbantu dan memberi sokongan untuk memastikan kursus ini berjaya dilaksanakan.