Pada 12 dan 13 April 2019 yang lalu, telah diadakan program kompetensi ACMV Testing and Commissioning kepada para pelajar Diploma Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Kolej Vokasional Wakaf Tembesu. Program ini yang melibatkan seramai 26 orang pelajar dan dua orang guru pengiring, dibimbing oleh dua orang pensyarah dari BTPPU Adtec Kemaman iaitu En Syahriman bin Muhamad Kasim dan En Mohd Safari bin Abdul Rahman.

Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara lebih mendalam bagi memenuhi kehendak Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) kepada para pelajar. ADTEC Kemaman dipilih berikutan kelengkapan pembelajaran dan pengajaran adalah mencukupi dan bersesuaian dengan KSKV bidang TPPU. Ini secara tidak langsung mampu memberikan pendedahan dan pendekatan seperti berada di industri kepada para pelajar.

Semoga dengan program yang dijalankan ini mampu melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berketrampilan, kreatif dan inovatif dalam merebut peluang kerjaya untuk masa hadapan. Terima kasih diucapkan kepada Kolej Vokasional Wakaf Tembesu kerana memilih ADTEC Kemaman sebagai pilihan utama bagi peningkatan ilmu para pelajar KV.