Tanggal 5 Ogos 2019, julung kalinya ADTEC Kemaman diberikan penghormatan sebagai tuan rumah kepada Seminar Kesedaran Keselamatan Radioaktif (Radiografi Industri) Zon Pantai Timur yang dianjurkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dengan kerjasama ‘Malaysian Society for Non Destructive Testing (MSNT)’.
.
Seminar ini adalah inisiatif dari pihak AELB untuk menyampaikan maklumat terkini dan salah satu bentuk latihan yang diiktiraf sebagai program pembelajaran berterusan peserta. Seminar kesedaran yang dianjurkan di ADTEC Kemaman ini adalah berfokuskan kepada peserta-peserta di kalangan ‘Radiation Protection Officer (RPO)’ dan Pengendali/Pekerja Sinaran di sekitar negeri-negeri di Pantai Timur dan lokasi strategik ADTEC Kemaman yang berada di Kemaman yang merupakan pusat industri Minyak & Gas di Pantai Timur.
.
Merujuk kepada pegawai penganjur dari AELB, peserta yang hadir berhak untuk mendapatkan 4 mata ‘Continuous Education Program (CEP)’ dan sijil akan diberikan kepada mereka. Ini adalah satu peluang mudah kepada RPO dan Pengendali Sinaran untuk mendapatkan mata CEP di sekitar tempat kerja mereka khususnya di negeri pantai timur tanpa perlu mengeluarkan banyak kos perjalanan dan kursus yang majoritinya banyak dikendalikan di sekitar Lembah Klang.
.
Pihak ADTEC Kemaman mengambil peluang sebegini juga untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar khususnya di bidang Teknologi Kimpalan dalam memahami dunia pekerjaan yang melibatkan sektor radiografi industri. Maklum balas dari para pelajar yang mengikuti seminar ini mula menampakkan minat mendalam dan mengambil kira radiografi industri sebagai salah satu bidang profesional yang menarik untuk diterokai.